Sunday, March 05, 2006

Mengenal Tahap Keimanan

Sejauhmana kita serius untuk menghampirkan diri kepada Allah, bergantung sejauhmana kita mengenali diri kita. Orang yang mengenal diri akan sedar bahwa diri mereka adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang dijadikan Allah untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah Allah untuk melaksanakan segala hukum-hakam Allah di dunia. Hukum Allah hanya ada lima iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Oleh itu dengan mengenal diri,seseorang akan tahu dimana kelemahan dan kelebihan yang ada pada dirinya. Dia juga akan tahu, bagaimana untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu ibadahnya kepada Allah SWT. Ada banyak cara dan kaedah untuk mengenal diri. Dan yang pernah diajarkan oleh arwah datuk saya ialah dengan mengenal di tahap mana iman kita berada. Di tahap mana nafsu kita berada. Dan kekuatan apakah yang kita miliki.
Allah menjadikan manusia dari setitis air mani yang hina. Setelah dikandung sembilan bulan di dalam rahim ibunya, maka lahirlah jasad manusia ke muka bumi. Walau asalnya dari setitis air mani yang hina, maka jadilah ianya pelbagai bentuk dan wajah manusia yang hidup di mukabumi. Dari setitis air mani yang hina inilah lahirnya para doktor yang berusaha mengubati penyakit. Lahirlah para arkitek yang mampu mereka bangunan yang mencakar langiut. Lahirlah guru-guru yang mendidik. Tidak lupa juga kita ingin sebut, lahir juga manusia-manusia yang tidak senang dengan kebenaran sebaliknya lebih berselera dengan kemungkaran dan maksiat.
Walaupun pelbagai wajah manusia yang lahir didunia,hina atau mulianya manusia disisi Allah adalah bergantung kepada tahap keimanannya kepada Allah. Andainya iman yang dimiliki oleh seseorang itu mantap, disitulah kasih sayang dan rahmat Allah ke atasnya walaupun dia hanya seorang penoreh getah. Andainya keimanan yang dimilikinya rapuh, disitulah letaknya kemurkaan Allah walaupun dia menguasai empayar perniagaan berbillion dollar.
Apakah takrifan iman ? Iman adalah yang dibenarkan(diyakinkan) di hati, diikrarkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. Ertinya. Apabila seseorang telah beriman, dia hendaklah percaya dan yakin dalam hatinya, mengaku dengan lidahnya dan terus beramal dengan apa yang telah diyakini. Inilah iman. Timbul pula persoalan. Ada hadis yang menyebut "mukmin yang hasad dengki". Adakah mukmin yang hasad dengki ? Persoalan ini akan saya jawab di dalam tazkirah ini.
Oleh itu saudara dan saudari, antara cara mengenal diri ialah hendaklah kita kenal tahap keimanan kita berada di mana ? Rendahkah , pertengahankah atau tinggikah ? Tahap keimanan antara seseorang tidak sama. Ulamak ada menggariskan tahap keimanan ini kepada beberapa peringkat. Dalam tazkirah ini, saya hanya ingin memperkatahkan 3 tahap dalam keimanan.
Tahap pertama ialah Iman Taqlid. Apakah iman taqlid ? Iman taqlid ialah iman ikut-ikutan. Atau lebih kita kenali sebagai "Islam baka". Mereka tahu adanya rukun iman, tetapi hanya sekadar tahu tetapi tidak meyakini. Orang ditahap iman taqlid ini, Islamnya tidak kukuh. Tidak ada prinsip. Dia tidak ada sandaran atau alasan atau dalil yang kuat, mengapa dia wajib beriman.
Kalau dia ditanya : " Adakah engkau beriman ?"
Jawapan yang akan diberikan ialah : "Ya saya beriman."
Kalau ditanya pula : "Apakah bukti Allah itu wujud ?"
Jawapan yang akn diberikannya ialah : "Semua orang kata Allah itu wujud, maka wujudlah Allah"
Sandaran keyakinannya adalah pada kata-kata orang, bukan pada dalil akal dan dalil Al Quran. Dia beriman dan berkeyakinan tanpa ilmu. Keimanan tidak teguh dan rapuh. Mudah goyah dan mudah dipesongkan oleh anasir-anasir yang memperjuangkan kesesatan dan kemungkaran.
Orang yang beriman taqlid ini, bukan saja keyakinan kepada rukun iman tidak mempunyai sandaran yang jelas oleh ilmu tauhid. Disebabkan kecacatan dalam berkeyakinan ini, maka dirnya juga tidak berprinsip. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sering bercanggah antara sattu sama lain. Dia tidak mampu membuat pertimbangan antara yang hak dan yang bathil. Dia tidak tahu menggunakan ilmu syariat untuk menghisab diri sendiri dan peri laku masyarakat. Maka amat mudahlah orang yang beriman taqlid ini bukan setakat menyesatkan diri emreka sendiri, malahan juga menyesathkan orang yang mengikutinya. Maka persoalan "mukmin yang hasad dengki" sudah pun terjawab. Mukmin yang hasad dengki ialah orang yang berada pada tahap iman taqlid. Mereka hanya tahu Allah itu tuhan, mereka hanya tahu syurga dan neraka itu ada. Tetapi tidak yakin. Sebab itu mereka boleh anggap, dosa kecil laksana seekor lalat yang hinggap di batang hidung mereka. Inilah antara tanda orang di tahap iman taqlid. Tak rasa berdosa dengan dosa yang telah dilakukan.
Mengikut qaul yang paling jelas oleh ulamak-ulamak yang mebahaskan ilmu tauhid, aqideah orang yang berada di tahap iman taqlid adalah tidak sah. Segala amal ibadahnya tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah. Untuk memperbaiki mutu dan tahap keimanan di peringkat taqlid, seseorang itu wajiblah menuntut ilmu Fardhu Ain. Hal ehwal keimanan dibahaskan dalam juzuk ilmu tauhid. Maka wajiblah dia mempelajarai, memahami, meyakini dan mengamalkan ilmu tersebut bagi dia memperbaiki mutu dan tahap keimanannya kepada Allah. Andainya dia mati dalam keadaan tidak bertaubat dan tidak berusaha untuk menuntut ilmu, maka ulamak sepakat mengatakan bahwa matinya saling tak ubah bagai matinya seorang yang bukan Islam.
Namun, kepada seseorang yang terlalu bodoh dan jahil. Walau dia telah berusaha untuk menuntut ilmu berhubungkait dengan keimanan, tetapi masih juga tahk boleh nak faham dan yakin, ulamak bersepakat mengatakan sah imannya ettapi dengan syarat, keyakinannya mestilah jazam (putus atau mutlak).
Tahap iman kedua ialah Iman Ilmu. Orang yang beriman taqlid, setelah dia menuntut ilmu fardhu ain. Setelah dia faham dan yakin akan ilmu yang telah dipelajarinya, maka meningkatlah amalannya. Diri sudah sedar bahwa setiap perlakuan didunia akan mendapat pembalasan dari Allah di akhirat. Kalau baik amalannya di dunia, maka syurgalah yang bakal dibalas. Jika buruk amalan di dunia maka nerakalah tempat perhentian.
Orang ditahap iman ilmu, mereka telah mempelajari akan kesemua rukun iman yang enam iaitu :
1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada malaikat
3. Percaya kepada kitab-kitab
4. Percaya kepada Nabi-nabi
5. Percaya kepada Hari Qiamat
6. Percaya kepada Qadha & Qadar Allah.
Beserta dengan dalil-dalil aqli dan naqlinya walaupun secara ijmal (ringkas).
Paling minima, seseorang yang berada di tahap ini mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli ke atas :
1. 20 sifat yang wajib bagi Allah
2. 20 sifat yang mustahil bagi Allah
3. Satu fifat yang harus bagi Allah
4. 4 sifat yang wajib bagi Rasul
5. 4 sifat yang mustahil bagi Rasul
6. Satu sifat yang harus bagi Rasul.
Kesemua sifat-sifat yang berjumlah 50 ini, hendaklah difahami dan diyakini sungguh-sungguh. Jika sudah difahami dan diyakini, barulah orang yang beriman taqlid di naikkan tahap mutu keimanannya ke tahap iman ilmu.
Antara sifat orang yang memiliki tahap iman ilmu. Imannya dan keyakinannya berasas dan ada sandaran ilmu. Iktiqadnya disertai dengan dalil yang kuat. keyakinannya tidak mudah goyah. Mereka tahu yang mana satu kesesatan dan yang mana satu kebenaran. TETAPI, mereka tidak kuat hendak melawan perkara-perkara yang menghalang dari beribadah. Ada empat perkara yang menghalang seseorang untuk beribadah iaitu dunia, manusia (fasik, munafik dan kafir harbi), syaitan dan hawa nafsu. Maka mereka akan terus terjebak dalam lembah kemungkaran walau pun sedar perkara yang dilakukan akan mendatangkan dosa. Mereka hanya mampu memperkatakan tentang Islam, tetapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya. Kesimpulannya iman di tahap iman ilmu, belum lagi menjamin seseorang untuk selamat dari kemurkaan Allah SWT. Maka orang ditahap iman ilmu ini, perlulah berusaha lebih gigih agar tingkatan imannya meningkat.
Tahap iman yang ketiga ialah Iman "Ayyan.Orang yang berada di tahap iman Ilmu, andainya dia berusaha memperbaiki dirinya. Maka tahapnya akan meningkat ke tahap iman ayyan. Antara ciri orang yang memiliki tahap iman ayyan ialah :
1. Keyakinannya bertempat di hati dan bukan diakal. Dia yakin dan terasa akan adanya malaikat yang melaporkan dan menulis setiap tingkah laku dan perkataannya. Dia sedar dan terasa, seandainya dia melakukan dosa, dia terasa bagai telah melakukan sesuatu yang mengundang kemurkaan "Kekasih"nya yang tercinta. Hati dia terhiris pilu. Sentiasa wujud hubungan hati antara dia dan Allah. Jangankan hendak buat dosa besar, dosa kecil pun dia benci. Jangankan dosa kecil, perkara yang makruh dan syubahah pun dia akan tinggalkan. Tak seperti kita, yang mengaku pejuang Islam. Tapi dosa kecil yang berlaku, kita usahakan cari alasan untuk menghalalkannya.
Ibadah orang ditahap iman ayyan meresap jauh ke lubuk hati. Dia sentiasa merasai kebesaran Allah. Sentiasa merasai diawasi oleh Allah, sehingga dia sering menghisab dosa-dosa yang dilakukannya dan sering bertaubat. Dia sentiasa merasa diri dia berdosa. Sebab rasa diri berdosa itu adalah rasa kehambaan. Sebagai hamba , memang sewajarnya kita merasakan diri berdosa agar kita tidak berani melakukan sebarang dosa. Di zaman kita sekrang dah lain. Orang lebih suka mengurangkan rasa berdosa, bukannya mengurangkan dosa. Sepatutnya kita kurangkan dosa, bukannya kurangkan rasa berdosa. Jadi orang di tahap iman ayyan, dia akan sentiasa menyucikan dirinya dengan taubat dan menghindarkan perkara-perkara yang mengundang daki dosa dari terpalit di hati mereka.
Untuk mencapai iman ayyan, seseorang yang ditahap iman ilmu perlulah :
1. Beramal dengan ilmu Fardhu Ain yang dimiliki
2. Banyakkan ibadah sunat
3. Banyakkan zikir dan munajat
4. Banyakkan bertafakur tentang kebesaran Allah melalui makhluk ciptaan Allah
5. Bermujahadah melawan nafsu. Ini akan saya huraikan apabila kita membahaskan tentang tingkatan nafsu dalam usaha kita mengenal diri.
Jadi saudara dan saudari sekelian. Inilah secara ringkas huraian berkenaan mengenali tahap keimanan yang ada pada diri kita. Marilah kita suluh dan hisab diri kita. Berdasarkan sifat-sifat yang dihuraikan tadi, di tahap manakah kita berada. Seandainya kita berada di tahap iman taqlid, maka berusahalah untuk menimba ilmu agar kita mencapai tahap iman ilmu. Seandainya lita berada di tahap iman ilmu, berusahalah kita untuk mencapai tahap iman ayyan kerana hanya iman ayyan sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari menjadi bahan bakaran api neraka di akhirat kelak

6 Comments:

Blogger hakim said...

Saya rasa ada 5 tahap keimanan:

1) Iman Taqlid
Iman ikut-ikut atau Iman 'pak turut'.Orang yang beriman Taqlid,pegangan Islamnya tidak kuat dan prinsip Islamnya tidak kukuh.Dia tidak ada alasan yang kuat mengapa dia beriman.Dia ada dalil-dalil akal dan Al-Quran/as-Sunnah untuk membuktikan keyakinannya.Mengikut qaul yang lebih jelas,Iman Taqlid ini tidak sah.Segala amal ibadat orang yang beriman Taqlid adalah tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah Taala.

2) Iman Ilmu
Iman berdasarkan Ilmu.Iaitu seorang yang telah mempelajari tentang Allah,Malaikat2,Rasul2 dan Nabi,Kitab2,hari Qiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimaninya.Iman dan keyakinannya berasa dan kuat bertunjang pada akal.Iqtikadnya disertai dengan dalil-dalil yang kuat serta pegangan yang kukuh.Dia tidak mudah goyang atau terpengaruh dengan ideologi lain.
Tetapi orang yang beriman Ilmu,tidak takut akan Allah Taala dan mudah berbuat derhaka kepada-Nya.Mereka juga hanya mampu memperkatakan Islam,tetapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya.jadi,Iman Ilmu belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu dari neraka Allah.

3) Iman 'Ayyan
Hasil daripada tarbiyah dan mujahadah yang bersungguh-sungguh orang yang beriman Ilmu akan meningkat kepada Iman 'Ayyan.Imannya bertempat di hati,bukan lagi di fikiran.Hati orang-orang yang beriman 'Ayyan sentiasa mengingati Allah, ibadahnya khusyu' dan ia sentiasa merasa kebesaran Allah Taala.Pabila disebut nama Allah, gementar hatinya.
Semua perintah Allah Taala dipatuhi dengan penuh rela dan kesungguhan.Ia terlalu sensitif dengan dosa serta sangat berakhlak dengan Allah dan manusia.Setiap ujian dihadapi dengan penuh sabar.Ia juga sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Taala.Orang yang berada di peringkat Iman 'Ayyan tidak lama dihisab di Akhirat dan ia mudah masuk Syurga.

4) Iman Haq
Seseorang yang mencapai Iman Haq,mata hatinya melihat Allah Taala.Ertinya setiap kali melihat kejadian dan kebesaran Allah Taala,hati dan fikirannya tertumpu kepada Allah.tersa takut dan hebat kepada Allah setiap masa.Hatinya tidak lekang mengingati Allah dan sentiasa karam serta khusyu' dalam kesyahduan cinta pada Rabb.
Hatinya tidak terpaut dengan dunia dan ia tidak dapat dilalaikan oleh nafsu mahupun Iblis laknatullah.Mereka yang beriman 'Ayyan digelar Muqarrobin oleh Allah Taala,yakni orang yang hampir dengan-Nya.

5) Iman Hakikat
Inilah peringkat iman yang paling sempurna dan tertinggi yang dimiliki oleh Rasul2, Nabi2,khulafa' ar-Rasyideen serta wali-wali besar.Mereka akan ditempatkan oleh Allah Taala di dalam Syurga yang paling tinggi.Hidup mereka setiap masa asyik dangan ibadah.Ibadah mereka cukup hebat, solat sunat paling kurang 300 rakaat sehari semalam.Budi serta akhlak adalah yang terbaik dan paling terpuji.
Allah Taala akan menurunkan barakah di mana sahaja mereka berada.Mereka digelar golongan 'superscale' Akhirat.Hidup dalam Syurga yang maha Indah lagi maha lazat.Allah mengurniakan yang sedemikian itu sebagai membalas cinta dan pengorbanan hakiki yang cukup besar semata-mata kerana Allah !
Di manakah tahap keimanan kita ?Sama-samalah kita sentiasa memuhasabah diri serta mempertingkatkan keimanan kita dengan mengerjakan amalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh,iltizam dan istiqomah.Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah Taala dalam surah Ali Imran, ayat 139 :

Maksud :Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah(pula) kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi(darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.

5:11 AM  
Blogger Tecwest said...

Maaf terlebih dahulu, niat bukan nak mengajar tetapi hanya permbuka jalan. Ingat: Bukan setinggi mana ilmu yang di pelajari atau di perolehi, bukan sebanyak ibadah dan amal yang di lakui atau apa sahaja bukan nya menjadi ukuran bai Allah. Sesiapa pun boleh belajar dgn ilmu yg di kemukan di web ini, baik atau jahat, iman atau kafir sampai dia benar2 faham. Adakah itu menjadi syarat atau menjadi nyata bahawasanya dia sudah mengenal diri nya. Itu hanya setakat keterangan dan butir2 untuk mendorong mereka yg ingin mengenal diri nya sendiri. Yg ada mengenal diri nya dgn ilmu pengetahuan,yg ada di perlihatkan, yg ada dgn di beri nama. Jika 3 perkara tersebut belum ujud maka pincanglah untuk ia melanjut lebih jauh lagi. Mengenal diri bukan setakat 3 perkara. 99 perkara pun masih belum cukup untuk dia mengenal diri nya. Firman:"Ya Muhammad, kau tidak dapat memberi petunjuk kpd orang yg kau kasihi walaupun anak dan istri kamu, melainkan Aku" Mengenal diri adalah anugerah dari Allah termasuk Islam dan Iman hingga mencapai mengenal Allah. Bila seorang hamba Allah sudah sampai ke tahap dirinya hanya berkata benar, hanya berjanji benar dan telah berjaya mensuci diri nya dan bisa memelihara kesucian nya, paling sedikit 20 thn hingga 40 thn selagi itu dia masih bertarikat belum sampai ke hakikat nya apatah lagi sampai kpd tahap ma'fifat. Mudah2an sesiapa yg ingin mengenal diri nya maka hilangkan segala sifat2 amarah nya. Ilmu pengetahuan setinggi mana hanyalah bayangan sahaja. Tidak bisa di ujudkan walau nyata sekalipun.Permulaan maka buatlah kebaikan sesama manusia sebagaimana Allah dan rasul nya melakukan kebaikan2 semata2 untuk umat manusia. Salam sejahtera.

7:23 AM  
Blogger amran shafei said...

gadaikan sedikit masa mu wahai saudaraku demi keuntungan dunia-akhirat

9:30 AM  
Blogger Unknown said...

Nama saya muhd said 0138839036. Boleh reply saya untuk mengenali anda. Tq

11:53 AM  
Blogger Ctsha said...

Tq info

4:55 PM  
Blogger Unknown said...

Jazakallahukhairan

7:26 PM  

Post a Comment

<< Home