Sunday, March 05, 2006

Tingkatan Nafsu

Setelah kita membahaskan berkenaan syarat mengetahui tahap keimanan dalam proses mengenal diri. Pada kali ini kita akan cuba menghuraikan tingkatan-tingkatan nafsu yang menjadi syarat kedua untuk mengenal diri.

Allah menjadikan haiwan mempunyai nafsu tanpa akal. Allah menjadikan para malaikat mempunyai akal tanpa nafsu. Dan Allah jadikan manusia memiliki akal dan nafsu. Maka jadilah manusia itu sebaik-baik ciptaan Allah SWT.

Nafsu merupakan salah satu dari 4 penghalang utama kepada seseorang muslimuntuk beribadah kepada Allah. Hakikatnya nafsu ini perlu ada dalam diri kita. Tidak boleh tidak. Kena ada dalam diri manusia. Tetapi nafsu tersebut hendaklah dididik. Kerana nafsu ini sebenarnya milik haiwan. Haiwan yang memiliki nafsu. Haiwan yang liar, jika dijinakkan dan dididik, akan memberi manfaat kepada manusia. Lembu kalau dijinakkan mampu membantu manusia melakukan kerja di ladang. Begitu juga kuda. Kuda liar jika dididik dan dijinakkan, mampu dijadikan haiwan tunggangan. Nafsu juga begitu. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri manusia. Kerosakan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Maka wajiblah seseorang itu mendidik nafsu mereka agar terdididik. Dan dalam usaha mendidik nafsu, sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan-tingkatan nafsu.

Dalam kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, ada disebutkan 7 tingkatan nafsu. Iaitu :

1. Ammarah
2. Lawwamah
3. Mulhamah
4. Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardiah
7. Kamilah

Tingkatan yang terendah dan terhina ialah Ammarah. Dan tingkatan yang termulia ialah Kamilah. Namun pada kali ini, saya hanya ingin membicarakan 4 tingkatan yang pertama demi keselamatan kita dan usaha kita dalam menuju ke arah keredhaan Allah SWT.

Nafsu Ammarah ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang bersifat dengan nafsu Ammarah, dia akan merasa bangga apabila melakukan dosa. Dia merasa kebahagiaan dan kelazatan yang amat sangat apabila berpeluang melakukan dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada di tingkatan nafsu Ammarah, dia akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Mereka inilah yang menjadi tunggak dan promoter-promoter kepada program maksiat dan kemungkaran. Dia akan ajak dan tarbiah manusia-manusia yang lain untuk bersama-sama dirinya melakukan maksiat dan kemungkaran secara berjemaah. Andainya, ada usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana yang menghalang kepada program menyeru yang makruf dan mencegah kemungkaran. Andainya ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang yang menegur itu dimusuhi. Orang yang bernafsu Ammarah inilah yang sentiasa menjadi batu api, melaga-lagakan orang demi kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah kalau mereka boleh dilabel sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan. Orang yang bernafsu Ammarah, tempatnya tidak lain dan tidak bukan ialah di neraka. Muktamad, kalau dia mati akan ke neraka. Dan dosa-dosa orang yang menyahut seruannya untuk melakukan maksiat juga, dia akan beroleh saham darinya. Jadi kepada mereka yang bernafsu Ammarah, bersiap sedialah untuk dibakar di neraka.

Tingkatan kedua nafsu ialah Lawwamah. Orang yang memiliki nafsu Lawwamah sedar bahawa diri dia sering terlibat dengan dosa. dan dia sering mengkritik diri dia apabila terlibat dengan dosa. Mereka sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa pun. Tak ingat kepada Allah, tak ingat kepada syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah nikmat yang sementara. Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar yang dia telah terlanjur. Dia menyesal dan mengkritik diri dia sendiri di atas keterlanjurannya. Tetapi setelah masa berlalu, dia buat semula dosa kemungkaran yang menjadi kegemarannya. Seandainya orang bernafsu Lawwamah ini berjaya membuat kebaikan, maka senanglah timbul riyak dan ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab perjuangan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu Lawwamah.

Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di nafsu Lawwamah tidak merasa bangga apabila melakukan dosa, dia tidak pula mengajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tidak pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tetapi dia sering terjebak dengan dosa, sebab tidak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa. Tingkatan nafsu Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang dari api. Nafsu yang sebegini masih belum dapat menyelamatkan yang empunya diri dari api neraka.

Tingakatan yang ketiga ialah nafsu Mulhamah. Orang yang bernafsu Lawwamah, apabila dia sedar bahawa dia melakukan dosa, hasil dia mengkritik diri dia setelah dia terlanjur melakukan dosa, dia akan berusaha menghisab diri dan berusaha memperbaiki diri. Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dia pelajari, dia berusaha menyucikan hatinya. Orang yang bernafsu Mulhamah, dia masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun dosa, walau sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap ke neraka.

Andainya orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa kerana tidak sengaja. Bukan dia suka-suka cari. Andainya orang di tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru dia sedar akan kejinya perbuatannya itu. Orang bernafsu Mulhamah sewaktu buat dosa, sedang dia buat dosa, dia sudah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat yang sedang dia lakukan. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, dia mengkritik diri dia. Orang yang bernafsu Mulhamah bukan setakat kritik diri dia, malahan dia mencari kaedah untuk tidak melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa . Namun orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan dosa. Hati dia pedih bila melakukan dosa, walau pun tidak sengaja. Namun usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.

Tingkatan yang keempat ialah nafsu Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa yang istiqamah dan sungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Datanglah 1001 macam ujian musibah melanda, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia sujud dan syukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah. Nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya dikongsi bersama dengan saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan Allah. Mereka inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka Allah di akhirat. Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya nanti di akhirat.

Timbul persoalan. Bagaimana ingin menigkatkan taraf nafsu ? Tidak lain dan tidak bukan ialah dengan bermujahadatunnafsi ( bermujahadah melawan nafsu ). Langkah pertama ialah dengan menimba ilmu Fardhu Ain. Seterusnya beramal dengannya. Dalam beramal inilah berlaku proses mujahadah melawan nafsu.

Mujahadah melawan nafsu tempatnya di hati. Maka dalam proses mujahadah ini, terdapat tiga peringkat yang akan dilalui. Pertama peringkat takhalli (buang). kedua peringkat tahalli ( isi ). Ketiga peringkat tajalli (merasai). Tamsilan yang boleh dibuat tentang ketiga-tiga peringkat mujahadah adalah seperti sebuah bekas yang mengandungi sampah sarap. Sebuah bekas mengandungi sampah sarap yang menyakitkan mata. Apabila sampah sarap tersebut dibuang dari bekas dan bekas dibersihkan, itulah tamsilan kepada proses takhalli. Setelah bekas kosong dan bersih, bekas tersebut diisi pula dengan buah-buahan atau makanan yang lazat, dihias lagi dengan kuntuman-kuntuman bunga yang cantik dan mekar. Inilah tamsilan kepada proses tahalli. Setelah keindahannya terserlah, sesiapa sahaja yang memandang akan merasakan kindahan bekas yang berisi buah-buahan dan bunga, inilah tamsilan proses tajalli. Dalam mujahadah melawan nafsu. Perlawanan berlaku di hati. Di kala nafsu mengajak hati untuk berlaku riyak dan sombong, maka lawanlah bisikan tersebut. Inilah takhalli. Rasa sombong dan riyak, digantikan dengan rasa tawadduk dan rendah diri. Paksa hati untuk tawadduk dan rendah diri. Inilah tahalli. Apabila manusia lain melihat kita memiliki sifat mahmudah dan mencontohi kita. Memanfaatjkan sifat yang ada pada kita, itulah tajalli. Maka ini boleh dikiaskan kepada sifat-sifat yang lain. Semoga kita beroleh panduan dalam melakukan mujahadah terhadap nafsu kita, agar nafsu kita mampu dididik dan dijinakkan. Yang akhirnya dapat kita manfaatkan untuk keagungan dan kemuliaan Islam.

Saudara dan saudari sekalian. Berdasarkan ciri-ciri manusia dari 4 tingkatan nafsu itu, suluhlah diri kita. Di tingkatan manakah nafsu kita berada ?

1 Comments:

Blogger Herdjati Pravito said...

Assalamualaikum...
Saya mau tanya, jika ada seseorang yang rajin beribadah namun terkadang ia lupa dan melakukan maksiat walau hanya sesaat lalu dia akan kembali beribadah, itu apakah termasuk lawwamah atau ammarah? Wass.

4:05 PM  

Post a Comment

<< Home