Sunday, March 05, 2006

Tiga Kekuatan

Syarat yang ketiga dalam mengenal diri ialah dengan mengenal kekuatan yang dimiliki oleh diri sendiri. Mengenal kekuatan yang ada dalam diri adalah penting, agar kita mampu meletakkan diri kita di tempat yang sesuai untuk kepentingan Islam. Para pemimpin akan mengenal watak pengikutnya berdasarkan kekuatan yang dominan dalam diri pengikutnya. Berdasarkan mengenal kekuatan yang ada dalam diri pengikut, maka diletakkan pengikutnya di jabatan-jabatan tertentu agar tugas pentadbiran berjalan lancar. Para ibu-bapa akan mengenal watak anak-anak berdasarkan kekuatan yang dominan dalam diri anak-anak. Dengan mengenal watak dan kekuatan anak-anak, maka dapat diusahakan untuk merancang masa depan anak-anaknya dalam pelajaran dan usaha mencari pasangan. Begitu juga para murabbi akan mengenal watak murid-muridnya berdasarkan kekuatan yang dominan yang wujud dalam dirinya. Maka mudahlah para murabbi mencatur langkah-langkah perjuangan muridnya agar perjuangan akan terus istiqamah di atas landasan syariat.

Ada 3 kekuatan yang wujud dalam diri kita dan perlu kita kenali. Kekuatan tersebut ialah :

1. Kekuatan akal
2. Kekuatan jiwa
3 Kekuatan perasaan

Ketiga-tiga kekuatan ini wuujud dalam diri setiap manusia. Tetapi antara ketiganya, akan hanya ada satu sahaja kekuatan yang dominan. Akan hanya ada satu sahaja kekuatan yang lebih kuat antara kekuatan yang lain. Dan kekuatan yang dominan inilah yang akan mencorak dan menzahirkan perwatakan seseorang. Dalam setiap kekuatan ini, ada kelebihan dan ada kekurangan. Untuk mengenal sejauhmana dan kekuatan yang mana yang kita miliki, maka hendakalh kita lihat akan sifat-sifat yang dimiliki oleh setiap kekuatan ini. Kitab An Nafhatul Miskiah membahaskan sifat-sifat yang dimiliki oleh orang yang mempunyai kekuatan akal, jiwa dan perasaan seperti berikut.

Kekuatan akal. Orang yang mempunyai kekuatan akal amat sedikit jika dibandingkan dengan orang kebanyakan. Terdapat beberapa kelebihan yang dimiliki oleh orang-orang yang mempunyai kekuatan akal. Antaranya ialah :

1. Mampu berfikir. Hasil pemikirannya akan melahirkan teori-teori dan buah-bua fikiran serta idea yang bernas yang tidak terfikir oleh orang kebanyakan. Dia mampu mendatangkan hujjah dan dalil di atas teorinya itu jika dicabar untuk membuktikan kebenaran teorinya. Teori dan buah fikiran yang terhasil dari pemikirannya mampu mengungkai permasalahan yang melanda jika dipraktiskan. Malah dia mampu membuat perancangan yang jitu dalam sesuatu program dan mampu melihat halangan-halangan yang bakal menjelang sebelum halangan tersebut muncul. Maka dia mampu bersedia dalam apa juga halangan yang bakal melanda dengan sokongan rancangan kontigensi. Mereka ini akan menghapuskan kejumudan dalam diri mereka dan masyarakat.

2. Berilmu. Disebabkan kekuatan akalnya kuat, orang yang memiliki kekuatan akal ini mampu menguasai ilmu dengan lancar dan banyak. Dia mampu berfikir berdasarkan asbab dan musabab. Juga mampu menghuraikan perjalanan sejarah dalam aplikasi perjuangan semasa. Bahkan dia mampu mencungkil ilmu-ilmu yang tersirat dengan mudah dan cepat yang amat jarang mampu dilakukan oleh orang kebanyakan.

3. Berhati-hati. Kerana tajamnya fikiran, dia amat berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan atau kerjanya tidak menemui jalan buntu. Setiap perancangan, akan disertakan target masa (dateline) untuk melihat dan menilai pencapaian atas perancangan yang telah dilakukannya. Penilaian akan dibuat ke atas perancangannya dan amalannya dari semasa ke semasa, sebagaimana dia menghisab dirinya dari masa ke semasa.

Walaubagaimanapun, orang yang memiliki kekuatan akal ini terdapat juga kelemahan. Andainya orang yang memiliki kekuatan akal ini tidak dididik dengan iman, dia akan lupa kepada kebesaran Allah. Disangkanya dirinya sahaja yang bijak dan hebat lalu lupa untuk menjadi hamba Allah. Tak mustahil dia akan terjerumus kepada kekufuran kerana sifat riyak dan ujub atas kelebihan yang dia miliki. Seandainya mereka menjadi pemimpin. mereka akan memikirkan jalan-jalan untuk menghalalkan sesuatu yang bersesuaian dengan nafsu sehingga mampu mempengaruhi anak-anak usrahnya untuk berpegang dengan "fatwa"nya yang sesat lagi menyesatkan. Mereka akan membawakan terminologi-terminologi yang bombastic demi menyokong idea-idea bernas bagaimana untuk menggalakkan kesesatan.

Untuk mendidik orang yang kuat akal mentaati Allah, maka perlu didedahkan mereka dengan ayat-ayat Allah dari Al Quran yang mengajak manusia berfikir. Dengan itu mereka akan membuat perbandingan dan tidak lagi sombong dengan keistimewaan yang Allah telah anugerahkan kepadanya. Hasil dari didikan inilah nantinya akan lahir pemikir-pemikir Islam yang memikirkan permasalahan umat Islam sejagat dan mencari jalan penyelesaian kepada umat Islam dengan buah fikiran yang bernas dan bermanfaat.

Kekuatan jiwa. Orang yang memiliki kekuatan jiwa, mereka ini tahan lasak. Orang yang memiliki kekuatan jiwa jika dididik dengan iman akan melahirkan manusia-manusia yang yakin, berani, pemurah, tabah dan tidak pernah berputus asa. Mereka mempunyai prinsip berlandaskan Al Quran dan akan terus mempertahankan prinsip yang diyakininya. Kata-katanya tidak bercanggah antara satu sama lain sebagai gambaran teguh dan utuhnya prinsip yang dibawa. Andainya dia melakukan kesalahan, dia tidak rasa malu atau tidak merasa ego untuk mengakui kesalahan yang dilakukannya.

Tetapi, seandainya orang yang kuat jiwa ini tidak dipimpin dan dididik dengan iman. Maka akan lahirlah manusia-manusia yang gopoh, boros, zalim, suka menindas, mudah melenting, mudah menuduh seseorang dna menjatuhkan hukum ke atas seseorang tanpa usul periksa yang adil, pendendam dan ujub. Merka juga akan lupa kepentingan orang lain, sebaliknya hanya memikirkan diri sendiri. Seandainya dia menjadi pemimpin, dia tidak memikirkan kehendak anak-anak usrah yang dipimpinnya. Yang paling malang, andainya dia memperjuangkan prinsip yang salah dan sesat, maka akan diperjuangkanlah prinsipnya yang sesat sambil menafikan prinsip yang bergerak di atas jalan kebenaran.

Untuk mendidik orang yang kuat jiwa supaya insaf dan terdidik, ingatkan mereka dengan nikmat-nikmat Allah SWT. Ceritakan kepada mereka kisah sejarah orang soleh dan toleh (jahat). Dedahkan kelemahan mereka agar mereka sedar walau mereka ada kekuatan jiwa, namun ada juga kelmahan yang dimiliki olehnya.

Kekuatan perasaan. Perasaan melibatkan ilmu rasa. Ianya juga berhubungkait dengan soal hati dan emosi. Antara sifat yang baik yang dimiliki oleh orang yang mempunyai kekuatan perasaan ialah, tidak gopoh, bertimbang rasa, lemah-lembut, penyayang. Dia akan menjaga kebajikan manusia sama ada dikenalinya atau tidak. Dia mudah mesra dan mampu bergaul dengan masyarakat tanpa halangan.

Tetapi jika tidak dididik dengan iman, orang yang kuat perasaan akan mudah merajuk, mudah kecewa, berburuk sangka, pendendam, tidak yakin dengan diri sendiri, dayus, tidak tahan diuji dan syok sendiri (ujub). Dia tidak akan hargai dan menerima pandangan orang lain. Untuk menyembunyikan kesalahan dan kelemahannya, dia akan berusaha merekacipta 1001 macam alasan hingga berani melanggar batas syariat


Untuk mendidik orang yang sebegini, hendaklah dipandu dengan ilmu yang berhubungkait dengan persoalan imandan syariat Islam. Sifat-sifat mahmudah yang baik hendaklah disuburkan, manakala sifat-sifat mazmumah yang keji hendaklah dikikis. Didik perasaan orang yang kuat perasaan agar dia peka kepada kebaikan dan sensitif dengan dosa. Sampaikan kepadanya khabar gembira dan khabar ancaman azab neraka Allah di akhirat. Hati dan perasaan yang peka dan sensitif dengan syurga dan neraka, akan berusaha malkasanakan titah perintah Allah serta meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Setelah kita kenal kekuatan yang ada pada diri kita, maka berperananlah dan bergelangganglah dalam memperjuangkan hukum Allah SWT berdasarkan bakat dan kepakaran. Salurkanlah kekuatan yang ada kepada bakat dan kepakaran yang kita miliki. Gunakanlah bakat dan kepakaran untuk menyemarakkan perjuangan agar kalimah Allah tertegak di mukabumi.

4 Comments:

Blogger mohamad ariff said...

assalamulaikum
saya disini ingin sangat mencari ilmu ALLAH SWT yg telah lama saya impikan. jadi saya masih lagi belum menemui seoarang guru yg dapat membimbing saya dan mendidk saya, dalam "tiga kekuatan" yg saudara bincangkan dan saya telah membaca saya dapati saya memiliki kekuatan jiwa, bagaimanakah saya hendak membuang dan saya dapat menhindarkan tabiat yg buruk dalam diri saya..harap dapat balasan

12:20 PM  
Blogger Unknown said...

Petikan dari yahoo group/indonesia.
Menunjukkan garis di tangan kanan dan kiri kita ini ialah angka dalam bahasa Arab yang membawa makna 18 dan 81 dan kalau di cantumkan akan menjadi 99. Ia itu 99 nama Allah....Satu rahsia yang ada di tapak tangan kita tapi berapa ramaikah dari kita yang peka terhadap rahsia ini................................Maha Suci Tuhan.

12:57 PM  
Blogger Unknown said...

Tingkatan Nafsu
Setelah kita membahaskan berkenaan syarat mengetahui tahap keimanan dalam proses mengenal diri. Pada kali ini kita akan cuba menghuraikan tingkatan-tingkatan nafsu yang menjadi syarat kedua untuk mengenal diri.

Allah menjadikan haiwan mempunyai nafsu tanpa akal. Allah menjadikan para malaikat mempunyai akal tanpa nafsu. Dan Allah jadikan manusia memiliki akal dan nafsu. Maka jadilah manusia itu sebaik-baik ciptaan Allah SWT.

Nafsu merupakan salah satu dari 4 penghalang utama kepada seseorang muslimuntuk beribadah kepada Allah. Hakikatnya nafsu ini perlu ada dalam diri kita. Tidak boleh tidak. Kena ada dalam diri manusia. Tetapi nafsu tersebut hendaklah dididik. Kerana nafsu ini sebenarnya milik haiwan. Haiwan yang memiliki nafsu. Haiwan yang liar, jika dijinakkan dan dididik, akan memberi manfaat kepada manusia. Lembu kalau dijinakkan mampu membantu manusia melakukan kerja di ladang. Begitu juga kuda. Kuda liar jika dididik dan dijinakkan, mampu dijadikan haiwan tunggangan. Nafsu juga begitu. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri manusia. Kerosakan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Maka wajiblah seseorang itu mendidik nafsu mereka agar terdididik. Dan dalam usaha mendidik nafsu, sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan-tingkatan nafsu.

Dalam kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, ada disebutkan 7 tingkatan nafsu. Iaitu :

1. Ammarah
2. Lawwamah
3. Mulhamah
4. Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardiah
7. Kamilah

1:03 PM  
Blogger Unknown said...

Benar...


6:35 PM  

Post a Comment

<< Home